Monday, November 3, 2025
24.9 C
Malaysia
spot_img

ASEAN perlu perkukuh ekosistem harta intelek untuk perkasa PMKS

The Sun Webdesk

Pengerusi MyIPO gesa ASEAN perkukuh ekosistem harta intelek serantau bagi menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

GEORGE TOWN: Negara anggota ASEAN perlu memperkukuh ekosistem harta intelek (IP) serantau dengan meningkatkan kesedaran dan membangunkan prosedur yang menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kata Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Riduan Rubin.

Beliau berkata rangka kerja serantau yang lebih menyeluruh dan telus akan memudahkan inovator tempatan serta perusahaan kecil memanfaatkan alat dan sumber IP dengan lebih berkesan, sekali gus membolehkan mereka memohon perlindungan IP dengan lebih mudah di seluruh ASEAN.

Beliau berkata ASEAN juga perlu memberi penekanan kepada pengukuhan aspek pengkomersialan, penilaian dan penyepaduan harta intelek dalam agenda kemampanan serantau.

“Pendekatan ini akan memastikan harta intelek bukan sekadar menjadi pemangkin nilai ekonomi dan pelaburan, tetapi juga menyumbang kepada inovasi hijau serta keseimbangan antara pembangunan ekonomi, sosial dan alam sekitar.

“ASEAN kaya dengan kreativiti namun mekanisme untuk penjanaan nilai masih belum tersusun. Kita memerlukan piawaian penilaian lebih kukuh, alat pembiayaan inovasi yang cekap serta dasar yang menghubungkan pencipta intelek dengan pasaran modal,” katanya berucap pada pembukaan Mesyuarat Kumpulan Kerja ASEAN mengenai Kerjasama Harta Intelek (AWGIPC) ke-77 dan mesyuarat berkaitan di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Yusnieza Syarmila Yusoff dan Pengerusi AWGIPC Suon Vichea.

Riduan berkata ASEAN kini berada pada detik perubahan penting iaitu harta intelek dilihat bukan sekadar sebagai mekanisme perlindungan, tetapi juga aset ekonomi strategik yang mampu menjana pelaburan, meningkatkan produktiviti dan memperkukuh daya saing serantau.

Beliau berkata MyIPO telah mengambil inisiatif dengan membangunkan rangka kerja penilaian IP yang kukuh, menjalin kerjasama dengan pakar serta institusi kewangan serta menyokong penyepaduan aset IP dalam penilaian pinjaman dan pelaburan perniagaan.

Dari 2019 hingga September lepas, katanya MyIPO merekodkan 342,093 permohonan cap dagangan, mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat dalam kalangan usahawan manakala permohonan paten melebihi 50,629 dan permohonan reka bentuk industri mencecah 12,788, memperlihatkan kekuatan negara dalam sektor pembuatan, inovasi serta reka bentuk.

Beliau berkata sistem pemberitahuan sukarela hak cipta di Malaysia juga merekodkan 55,352 pemberitahuan, sejajar dengan peningkatan kesedaran pencipta digital, pemuzik dan pembangun kandungan terhadap kepentingan harta intelek dalam ekonomi kreatif.

“Pulau Pinang, khususnya muncul sebagai peneraju dalam bidang inovasi. Negeri ini sentiasa mencatatkan antara jumlah permohonan IP tertinggi di Malaysia, dengan 1,354 permohonan dari Januari hingga September tahun ini.

 “Jumlah berkenaan merangkumi 130 permohonan paten dan 82 permohonan reka bentuk industri yang didorong terutamanya oleh sektor semikonduktor serta elektrik dan elektronik,” katanya – Bernama

Related

spot_img

Latest

A well-oiled machinery & equipment sector: The silent strength powering Malaysia’s semiconductor manufacturing excellence

KUALA LUMPUR, MALAYSIA - Media OutReach Newswire - 3 November 2025 - In the global semiconductor race, the loudest voices don't always belong to those doing the heaviest lifting. While headlines trumpet chip breakthroughs and billion-dollar fabs, Malaysia has been quietly perfecting something far more fundamental: the machinery and equipment that makes it all possible.

Most Viewed

spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img