Persatuan Badminton Malaysia memerlukan lebih RM55 juta setahun untuk kos operasi, termasuk imbuhan pemain, jurulatih dan penyertaan kejohanan
KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memerlukan lebih RM55 juta setahun bagi menampung kos operasi sebagai badan induk sukan berkenaan.
Presidennya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata jumlah itu merangkumi pemberian imbuhan kepada pemain dan jurulatih, perbelanjaan menyertai kejohanan dan penganjuran pertandingan dalam negara.
“Setakat ini kita masih okay. Untuk menampung operasi, kami memerlukan kira-kira RM55 juta setahun dan pada masa akan datang ia dijangka lebih tinggi,” katanya.
Mengenai perbelanjaan tahun lepas, beliau berkata BAM telah membelanjakan RM54 juta setakat November 2025.
Dua perbelanjaan terbesar ialah imbuhan pemain dan jurulatih serta perbelanjaan menyertai kejohanan yang melibatkan lebih daripada separuh kos.
Tengku Zafrul menyedari hakikat bahawa BAM perlu memperkasakan jenama mereka dalam usaha menarik lebih banyak penajaan pada masa depan.
Mesyuarat turut membincangkan sokongan kepada barisan pemain junior termasuk kenaikan elaun dan pemberian elaun tali raket bernilai RM400,000 secara keseluruhan.
“Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh menunjukkan kepada saya yang elaun pemain adalah sekitar RM400 hingga RM600.
“Itulah yang mereka terima dan itu mungkin tidak mencukupi, jadi kami akan meningkatkannya sehingga RM1,000 sebulan bagi semua pemain yang ada sekarang,” katanya.
Mesyuarat juga membincangkan mengenai semakan semula kadar gaji jurulatih tempatan.
Mengenai prestasi pemain Terbuka Malaysia 2026 di Axiata Arena, Bukit Jalil, beliau mengakui kecewa kerana beberapa pemain yang diharapkan tidak berjaya mara lebih jauh.
“Aspek penganjuran, ia dilakukan dengan sangat baik. Maksud saya, jika dilihat dari segi kehadiran penonton, semuanya lancar dan tidak banyak rungutan.
“Dari segi prestasi pemain pula, sudah tentu kami berharap lebih ramai pemain dapat mara lebih jauh, tetapi kita masih mempunyai satu beregu lelaki (Aaron Chia-Soh Wooi Yik) yang masih meneruskan aksi,” katanya.
Aaron-Wooi Yik dijadual merebut slot akhir menentang pasangan Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri.








