Monday, November 17, 2025
32.2 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Bekalan air jadi fokus utama calon PH di Tulid PRN Sabah

Calon PH Rufinah Pengeran janji selesaikan isu bekalan air di Tulid sekiranya menang PRN Sabah ke-17, tumpukan kempen kepada masalah asas penduduk

KENINGAU: Bekalan air bersih yang tidak menentu di beberapa penempatan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid menjadi fokus utama calon Pakatan Harapan (PH) Datin Rufinah Pengeran sekiranya beliau diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Rufinah, 50, yang juga Naib Ketua Wanita PKR, berkata pengalaman turun padang ke kampung di sekitar Tulid sejak beberapa tahun lepas membolehkan beliau menyaksikan sendiri keadaan hidup penduduk yang sering berdepan gangguan bekalan air.

Sehubungan itu, bekas guru berkenaan berkata strategi utama kempen beliau adalah mengetengahkan masalah bekalan air bersih sebagai isu asas yang perlu ditangani segera selari dengan keperluan penduduk dan aspirasi pembangunan kawasan pedalaman.

“Saya melihat dari dekat bagaimana penduduk mengharapkan penyelesaian jangka panjang kepada isu bekalan air ini seperti di kampung di kawasan Sungai Pegalan serta Trusmadi yang sudah berkali-kali menyuarakan perkara sama namun belum ada penyelesaian menyeluruh,” katanya kepada Bernama.

Mengulas pertembungan 14 penjuru di DUN Tulid, yang menyaksikan jumlah calon terbanyak dalam sejarah pilihan raya di Sabah, Rufinah berkata situasi itu memberi lebih banyak pilihan kepada pengundi sekali gus mewujudkan medan politik yang lebih matang dan kompetitif.

“Dalam persaingan ramai calon, rakyat akan menilai berdasarkan rekod turun padang dan komitmen dalam menyelesaikan isu asas seperti air, peluang ekonomi serta masa depan anak-anak muda. Akhirnya, keikhlasan dalam bekerja itulah yang akan membezakan calon-calon,” katanya.

Rufinah, yang juga Ketua Wanita PKR Sabah, turut menggesa pengundi berdaftar di DUN berkenaan supaya membuat pilihan berasaskan keperluan komuniti, sambil menyuarakan harapan agar masalah bekalan air yang berlarutan dapat diselesaikan segera dan secara menyeluruh.

DUN Tulid, yang terletak dalam Parlimen Pensiangan kira-kira 170 kilometer dari Kota Kinabalu,  dipertandingkan buat pertama kali pada PRN lepas dan dimenangi oleh Flovia Ng daripada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dengan majoriti 544 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai tarikh pengundian bagi PRN Sabah ke-17, yang membabitkan 73 kerusi DUN, manakala undi awal pada 25 Nov.

Mengikut statistik SPR, sebanyak 1,784,843 pengundi layak menunaikan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini yang merangkumi 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera bersama pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan masing-masing. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories