the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, July 23, 2026
26.4 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Bicara kes ibu bapa abai Zayn Rayyan pada 3 Feb

PETALING JAYA: Perbicaraan kes ibu bapa kepada kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matin yang berdepan dengan pertuduhan mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya akan bermula pada 3 Feb ini di Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Dr Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas menolak permohonan peguam Haresh Mahadevan yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya Ismanira Abdul Manaf untuk melapangkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan pada Februari dan Mac ini, sementara pelupusan notis usul bagi membatalkan pertuduhan itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

“Oleh kerana, permohonan (notis usul) itu masih belum didengar di Mahkamah Tinggi (Shah Alam), mahkamah akan teruskan dengan perbicaraan pada 3 hingga 7 Feb ini,“ kata Syahliza semasa sebutan kes itu.

Mahkamah sebelum ini menetapkan perbicaraan kes berkenaan pada 3 hingga 7 Feb, 17 hingga 21 Feb dan 10 hingga 14 Mac ini.

Terdahulu, Haresh memohon tarikh perbicaraan yang dijadualkan pada Februari dan Mac dilapangkan kerana jika diteruskan, ia akan memprejudiskan kedua-dua anak guamnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Iman Ahmad Sapian.

Menerusi notis usul itu, Zaim Ikhwan dan Ismanira memohon mereka dilepas dan dibebaskan serta-merta daripada pertuduhan berkenaan yang tidak mendedahkan sebarang kesalahan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.

Antara alasan lain dikemukakan ialah pertuduhan yang dihadapi mereka tidak mengandungi butir-butir yang mencukupi mengenai sebarang unsur kesalahan di bawah Seksyen 31.

Pada 13 Jun tahun lepas, Zaim Ikhwan dan Ismanira, kedua-duanya berumur 30 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada 12 tengah hari, 5 Dis hingga 9.55 malam, 6 Dis 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Dis 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Lebanon and Israel set for next talks in Italy

Lebanon and Israel will hold their next US-brokered talks in Italy on August 4 as both sides begin implementing a plan for Israeli withdrawals and Lebanese army deployments.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings