the sun malaysia ipaper logo 150x150
Friday, January 16, 2026
26.8 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Bung Moktar dibebaskan, kes rasuah Zizie Izette diteruskan

Mahkamah bebaskan Allahyarham Bung Moktar Radin daripada tuduhan rasuah RM2.8 juta, kes isteri Datin Seri Zizie Izette diteruskan.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepaskan dan membebaskan bekas Ahli Parlimen Kinabatangan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin daripada tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.

Hakim Rosli Ahmad membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan tidak akan meneruskan kes terhadap Bung Moktar yang telah meninggal dunia pada 5 Disember 2025.

Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How merujuk Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah untuk keputusan tidak meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh pertama.

BACA: PRK Kinabatangan uji legasi Bung Moktar, pengaruh BN Sabah

Mahkamah memerintahkan Bung Moktar dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan serta wang jaminan RM100,000 dan pasport dikembalikan kepada penjamin.

Tiga kes bersubahat dihadapi isteri Allahyarham, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, akan diteruskan selepas Jabatan Peguam Negara menolak representasinya.

Peguam Teh See Khoon memohon tarikh perbicaraan baharu ditetapkan pada 5, 6 dan 12 Mac ini.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh berkenaan untuk Zizie Izette, 47, membela diri.

Zizie Izette sepatutnya memberikan keterangan membela diri pada 12 Januari, namun prosiding ditangguhkan hari ini.

Bung Moktar telah memberikan keterangan membela diri pada 2 September tahun lepas.

Pada prosiding hari ini, Zizie Izette dikecualikan hadir, manakala peguam Ashok Athimulan mewakili Allahyarham Bung Moktar.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra.

Beliau didakwa menerima rasuah bagi mendapatkan kelulusan Felcra untuk melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette.

Rasuah didakwa diterima di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang pada 12 Jun 2015.

Beliau juga didakwa menerima suapan RM337,500 daripada ejen pelaburan Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund.

Akaun itu didaftarkan atas nama isterinya bagi tujuan yang sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Kesalahan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun.

Hukuman denda adalah lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009.

Beliau menghadapi hukuman penjara dan denda sama, jika sabit kesalahan. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Binastra secures RM1.2b Causewayz Square contract in Johor Bahru

The contracts for the 63-storey Causewayz Square development are expected to support earnings over the next three years and keep the group on track to meet its FY26 target.

Most Viewed

spot_img

Popular Categories