the sun malaysia ipaper logo 150x150
Wednesday, July 22, 2026
31.3 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Selangor perkasakan sekuriti makanan melalui pertanian bandar dan kebun komuniti

Selangor miliki 391 kebun komuniti berdaftar, 86% di bandar, sebagai strategi kukuhkan sekuriti makanan dan tangani kos sara hidup.

SHAH ALAM: Selangor terus memperkukuh usaha meningkatkan sekuriti makanan negeri menerusi pengembangan pertanian bandar dan kebun komuniti.

Pendekatan ini dilihat sebagai antara cara berkesan menangani kos sara hidup serta kesejahteraan masyarakat bandar.

Setakat tahun lepas, sebanyak 391 kebun komuniti berdaftar diwujudkan di Selangor dan dipantau pihak berkuasa tempatan serta Jabatan Pertanian Selangor.

BACA: RM67.62 juta diperuntuk untuk BMT 2025 pekebun kecil Sabah

Sebanyak 86% daripadanya terletak di kawasan bandar, mencerminkan potensi besar pertanian bandar di negeri paling urban di negara ini.

Pemegang Kursi Sekuriti Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Datin Dr Fatimah Mohamed Arshad berkata inisiatif di Selangor menunjukkan impak positif terhadap keterjaminan makanan komuniti setempat.

Beliau berkata kebun komuniti di kawasan bandar Selangor bukan sahaja membolehkan penduduk menghasilkan makanan sendiri.

Ia juga membantu mengurangkan kos sara hidup serta meningkatkan kesedaran terhadap pemakanan sihat dan kelestarian alam sekitar.

“Pertanian bandar mampu meningkatkan keterjaminan dan keselamatan makanan, selain membolehkan hasil tanaman digunakan sendiri atau dikongsi dalam komuniti setempat,” katanya.

Beliau menambah pendekatan ini memupuk semangat perpaduan dan rasa kekitaan dalam kalangan penduduk pelbagai latar belakang.

Dalam jangka panjang, pertanian bandar di Selangor berpotensi menjadi penyumbang signifikan kepada sekuriti makanan negeri.

Potensi ini lebih besar sekiranya dilaksanakan secara lebih meluas dan disokong teknologi moden seperti pertanian menegak dan sistem akuaponik.

Dekan Fakulti Industri Asas Tani Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof Madya Dr Seri Intan Mokhtar berkata pembangunan kebun bandar di Selangor merupakan inisiatif strategik.

Ia memastikan akses kepada makanan yang selamat dan sihat, khususnya bagi komuniti bandar.

“Kebun bandar boleh meningkatkan tahap sekuriti makanan di Selangor dengan menggalakkan pengeluaran makanan secara tempatan,” katanya.

Ini sekali gus mengurangkan kebergantungan pada bekalan luar serta isu logistik.

Usaha itu selari dengan pendirian kerajaan negeri Selangor.

Exco Pertanian Selangor Datuk Ir Izham Hashim sebelum ini memaklumkan negeri sedang memperluas program kebun komuniti sebagai sebahagian strategi memperkukuh keselamatan makanan.

Inisiatif itu dilaksanakan selaras dengan Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA).

Pelan itu memberikan tumpuan kepada pengukuhan rantaian bekalan makanan daripada peringkat benih sehingga pemasaran. – Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings