Seorang buruh binaan didenda RM300 dan diarah khidmat masyarakat enam jam selepas mengaku buang puntung rokok di tempat awam di Alor Setar.
ALOR SETAR: Seorang buruh binaan warga Indonesia didenda RM300 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana membuang puntung rokok di tempat awam.
Jufri Zulkifli, 39, mengaku bersalah atas pertuduhan membuang sisa pepejal di kawasan sekitar Menara Alor Setar pada 12.10 tengah malam 1 Januari lepas.
Kes ini merupakan pendakwaan pertama di negeri Kedah di bawah Seksyen 77A Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Mahkamah yang dipengerusikan Hakim N. Priscilla Hemamalini juga memerintahkan OKS menjalani khidmat masyarakat selama enam jam.
Dalam rayuannya, Jufri memohon hukuman ringan dengan alasan bekerja sebagai buruh binaan bergaji harian RM80 dan menanggung ibu serta anak.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Subseksyen 77A(1) Akta 672 yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM300 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar.
OKS juga diarah menjalani khidmat masyarakat selama enam jam pada kadar sejam sehari dalam tempoh dua bulan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SWCorp, Nur Idayu Syazwani Mohd Arif, manakala OKS tidak diwakili peguam.
Pada 23 Januari lepas, seorang wanita warga Indonesia menjadi OKS pertama di Malaysia didenda atas kesalahan serupa.
Mulai 1 Januari lepas, individu yang membuang sampah kecil seperti puntung rokok di tempat awam boleh didenda sehingga RM2,000.
Mereka juga boleh diperintahkan menjalani khidmat masyarakat sehingga 12 jam dalam tempoh enam bulan.








