the sun malaysia ipaper logo 150x150
Wednesday, July 1, 2026
32 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Cuaca panas: ISN nasihat penggiat sukan, atlet ambil langkah pencegahan semasa aktiviti sukan

KUALA LUMPUR: Institut Sukan Negara (ISN) menasihatkan penggiat sukan dan atlet supaya mengambil beberapa langkah pencegahan semasa melakukan aktiviti luar dan bersukan bagi mengurangkan komplikasi akibat cuaca panas terik ketika ini.

ISN dalam kenyataan hari ini menyediakan saranan dan garis panduan kepada penggiat sukan dan atlet bertujuan mengurangkan komplikasi akibat cuaca panas terik yang perlu difahami dan dilaksanakan supaya kesan utama penyakit bawaan haba seperti dehidrasi, kekejangan otot, stres haba dan strok haba dapat dielakkan.

“Semasa melakukan aktiviti sukan di persekitaran yang panas, kadar pengaliran darah dan peluh akan meningkat lebih tinggi berbanding biasa untuk membebaskan haba ke persekitaran luar. Ini akan menyebabkan bebanan kepada fisiologi badan semasa senaman yang berpanjangan.

“Persekitaran yang panas dan kelembapan yang tinggi akan mengurangkan keupayaan untuk pembebasan haba melalui radiasi/perolakan dan penyejatan. Secara umumnya, semakin tinggi kelembapan relatif, semakin kurang haba dibebaskan melalui perpeluhan,” menurut kenyataan itu.

Menurut ISN, penjagaan hidrasi juga penting untuk memastikan tubuh badan sentiasa mendapat bekalan air mencukupi menerusi strategi pengambilan air sebelum, semasa dan selepas melakukan aktiviti sukan.

“Pengambilan dua cawan (500-600ml) air dalam tempoh dua jam sebelum melakukan aktiviti manakala dua hingga tiga cawan (500-750ml) air kosong atau minuman sukan bagi setiap jam aktiviti sukan yang dijalankan selama 60 minit atau lebih.

“Pengambilan air bagi selepas aktiviti sukan pula bergantung kepada kehilangan berat badan seseorang iaitu secara purata, kehilangan satu kilogram (kg) berat badan bersamaan dengan 1.5 liter air yang perlu digantikan,” menurut kenyataan itu.

ISN turut menasihatkan penggiat sukan dan atlet supaya membuat adaptasi persekitaran haba (heat acclimatisation) selama satu hingga dua minggu untuk meningkatkan kecekapan sistem perpeluhan dan perlepasan haba, meningkatkan adaptasi biologi untuk menurunkan bebanan fisiologi dan meningkatkan kapasiti senaman.

Selain itu, penggiat sukan dan atlet digalakkan memakai pakaian bersesuaian iaitu ringan, kain fabrik diperbuat daripada kapas berkualiti yang membantu aliran udara untuk menyerap kelembapan, berwarna putih dan terang.

Bagaimanapun, kain 100 peratus kapas tidak digalakkan kerana ia akan menyerap peluh yang tidak membenarkan penyejatan haba.

Bagi penganjur acara sukan dan rekreasi, mereka perlu bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan peserta dengan menukar waktu mula berdasarkan corak cuaca persekitaran, membenarkan masa rehat atau minum lebih panjang dan mencukupi serta waktu pemulihan yang lebih panjang.

Penganjur juga harus menyediakan protokol dan kemudahan kecemasan perubatan sekiranya berlaku penyakit bawaan haba, kemudahan penyejukan seperti tempat berlindung (payung), ais, tuala basah dan kolam air serta membatalkan acara sekiranya cuaca panas di luar jangkaan dan berterusan. – Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

The 6th Cross-Strait Sun Yat-sen Forum Successfully Held in Zhongshan, Guangdong

ZHONGSHAN, CHINA - Media OutReach Newswire - 1 July 2026 - As 2026 marks the 160th anniversary of the birth of Dr. Sun Yat-sen, the 6th Cross-Strait Sun Yat-sen Forum was held in Zhongshan, Guangdong Province—the hometown of the great pioneer—from June 27 to 29 under the theme "Carrying Forward Dr. Sun Yat-sen's Spirit of Endeavor and Working Together for the Great Rejuvenation of the Chinese Nation".

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings