Kementerian Dalam Negeri menafikan dakwaan JPN sengaja lewatkan proses MyKad pelajar, terangkan isu sijil kelahiran tidak sah sebagai punca.
ALOR SETAR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan dakwaan bahawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sengaja melengahkan proses MyKad seorang pelajar adalah tidak tepat.
Beliau berkata JPN sedang melaksanakan proses mengikut undang-undang dan prosedur selepas mahkamah memutuskan remaja berkenaan layak mendapat kewarganegaraan.
Saifuddin mendedahkan siasatan mendapati sijil kelahiran asal remaja itu diperoleh secara tidak sah daripada sebuah hospital swasta yang disenaraihitam JPN.
“Ibu bapa mengetahui bahawa sijil kelahiran anak ini diperoleh secara tidak sah ketika bayi,” katanya pada majlis di Kedah hari ini.
Beliau menambah perbezaan fizikal yang ketara antara remaja dengan ibu bapanya membangkitkan keraguan mengenai dokumen berkenaan.
Saifuddin menafikan JPN mempunyai isu untuk melaksanakan keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 Disember 2025.
Bagaimanapun, proses perlu bermula dengan pengeluaran sijil kelahiran yang sah melalui pendaftaran lewat.
“Proses ini hanya memerlukan pengisian borang serta pengesahan saksi,” jelasnya.
Beliau menegaskan dakwaan JPN mempersulitkan proses atau mensyaratkan sokongan wakir rakyat adalah tidak benar.
Sebelum ini, sekumpulan peguam membidas JPN kerana didakwa enggan mematuhi arahan hakim untuk mengeluarkan MyKad.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan tempoh 30 hari kepada JPN dan menteri untuk mengeluarkan dokumen berkenaan.
Saifuddin menegaskan JPN akan melaksanakan perintah mahkamah sepenuhnya selepas sijil kelahiran sah diperoleh.








