the sun malaysia ipaper logo 150x150
Friday, January 16, 2026
25.8 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Dapur Digital jana RM2.5 juta, perkasa komuniti B40 melalui keusahawanan

Inisiatif Dapur Digital di 15 lokasi KL berjaya menjana pulangan ekonomi RM2.5 juta dalam 18 bulan, perkasa usahawan mikro terutamanya wanita B40.

KUALA LUMPUR: Inisiatif Dapur Digital telah berjaya menjana pulangan ekonomi melebihi RM2.5 juta dalam tempoh 18 bulan pelaksanaannya di 15 lokasi sekitar ibu negara.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pencapaian itu membuktikan keberkesanan model pemerkasaan komuniti berasaskan keusahawanan digital.

“RM2.5 juta ini bukan satu angka ataupun jumlah yang ‘kaleng-kaleng’, ini satu jumlah yang sangat memberangsangkan,” katanya pada Majlis Makan Malam Apresiasi Dapur Digital di sini.

BACA: Agrobank perkasa digitalisasi di Kampung Warna Warni melalui inisiatif tanpa tunai

Beliau menyatakan kebanggaan terhadap usaha gigih peserta, khususnya golongan wanita B40, yang muncul sebagai penggerak ekonomi baharu.

Fahmi turut mengucapkan tahniah kepada peserta dari PPR Kerinchi dan PPR Kampung Limau yang berjaya memperoleh empat unit lot kedai di Bazaria Pantai.

Beliau berkata kejayaan eksperimen sosial oleh Pepper Labs itu wajib dibawa ke kawasan lain.

Fahmi menyatakan sokongan penuh kepada hasrat Pepper Labs untuk memperluas Dapur Digital ke 15 lokasi lain di seluruh negara.

Beliau berharap peserta yang berjaya dapat menjadi mentor kepada kumpulan baharu pada masa hadapan.

Seorang peserta dari PPR Kerinchi, Normah Hamzah, berkata inisiatif itu membantunya meningkatkan pendapatan yang sebelum ini hanya sekitar RM60-80 sehari.

“Menerusi inisiatif ini, saya kini mempunyai dapur yang kondusif dan bersih untuk meraih pendapatan yang baik,” kata ibu tunggal kepada tujuh anak itu.

Peserta lain, Suhailah Sharip, berkata Dapur Digital membantu mereka mengembangkan perniagaan mengikut peredaran teknologi.

“Menerusi Dapur Digital kita belajar penggunaan media sosial, macam mana cara kita nak perkenalkan diri, kembangkan perniagaan,” katanya.

Pada majlis itu, Fahmi menyaksikan penyerahan Malaysia Book of Records kepada Dapur Digital sebagai “Dapur Digital Komuniti Paling Banyak oleh Sebuah Perusahaan Sosial”.

Projek Dapur Digital ialah inisiatif pemerkasaan komuniti B40, khususnya ibu tunggal dan belia, melalui ekonomi digital.

Ia berfungsi sebagai hab ekonomi yang membolehkan usahawan mikro memanfaatkan platform penghantaran makanan digital bagi meningkatkan jualan. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories