Mohd Na’im dan Zaliha Mustafa digugurkan daripada barisan jemaah menteri baharu, digantikan oleh Zulkifli Hasan dan Hannah Yeoh.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rombakan barisan Kabinet baharu hari ini.
Dua menteri dan seorang timbalan menteri digugurkan daripada barisan Jemaah Menteri Kerajaan MADANI.
Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar tidak lagi memegang portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Jawatan itu kini disandang oleh Dr Zulkifli Hasan yang sebelum ini merupakan Timbalan Menteri di jabatan sama.
Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa pula digugurkan daripada jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Beliau digantikan oleh Hannah Yeoh yang sebelum ini memegang portfolio Menteri Belia dan Sukan.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy turut digugurkan daripada barisan baharu.
Kabinet sebelum ini menyaksikan empat kekosongan portfolio menteri.
Jawatan Menteri Ekonomi, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi kosong susulan peletakan jawatan pemegangnya.
Portfolio Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri juga kosong selepas tamat tempoh pelantikan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. – Bernama









