Friday, October 31, 2025
25 C
Malaysia
spot_img

Dua rakan dipenjara 18 tahun sebabkan kematian lelaki di Teluk Intan

The Sun Webdesk

Dua rakan dihukum penjara 18 tahun kerana mengaku bersalah menyebabkan kematian lelaki di ladang kelapa sawit Teluk Intan pada 2018.

IPOH: Dua rakan dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang lelaki di kawasan ladang kelapa sawit, Teluk Intan tujuh tahun lepas.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet memerintahkan Wong Mun Fai dan Tan Chun How, masing-masing berusia 33 tahun, menjalani hukuman penjara bermula daripada tarikh mereka ditangkap pada 15 Nov 2018.

Kedua-dua tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan membunuh pada tahun 2018, namun menukar pengakuan kepada bersalah di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.

Mahkamah juga memerintahkan sebuah kereta yang dijadikan bahan bukti dipulangkan kepada pemilik selepas tamat proses rayuan, manakala eksibit lain dikembalikan melalui pendakwaan untuk dilupuskan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa bersama-sama melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Heng Wei Yong, 21, dengan niat menyebabkan kematian di laluan masuk ke kebun kelapa sawit berhampiran Jalan Kampung Banjar, Teluk Intan antara 12.05 tengah malam hingga 12.30 tengah malam pada 15 Nov 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda.

Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani memohon hukuman berat dikenakan terhadap kedua-dua lelaki itu sebagai pengajaran memandangkan kes melibatkan kematian serta mengambil kira kepentingan awam.

Beliau berkata tindakan membakar mangsa jelas menunjukkan tiada kesedaran kerana bertindak menghapuskan mangsa serta peralatan yang digunakan dalam kejadian tersebut.

Terdahulu, peguam bela Datuk Naran Singh dan Amrick Singh Sandu yang mewakili Wong serta V. Santhiran mewakli Tan merayu hukuman ringan dengan mengambil kira perbuatan itu merupakan kesalahan pertama mereka.

Pihak pembelaan memaklumkan kedua-dua lelaki itu telah mengaku salah serta atas perbuatan mereka, selain Tan mempunyai empat orang anak berusia antara tujuh hingga 14 tahun yang dijaga oleh ibu bapanya.

Pada 15 Nov 2018, media melaporkan penemuan mayat dalam keadaan rentung dipercayai mangsa bunuh di dalam kereta yang terbakar di Kampung Banjar menghala Selabak di Teluk Intan. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img