PM Anwar tekankan ECRL sebagai inisiatif strategik dan simbol kerjasama Malaysia-China, mampu perkukuh kedudukan negara sebagai hab jaringan logistik serantau.
KUALA LUMPUR: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bukan sekadar projek infrastruktur rel, tetapi inisiatif strategik negara serta simbol kerjasama dan persahabatan Malaysia-China.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata projek rel itu juga diyakini mampu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab jaringan dan logistik serantau di Asia Tenggara.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Pengerusi China Communications Construction Co. Ltd. (CCCC) Song Hailiang bersama delegasi yang merupakan kontraktor utama bagi kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan ECRL.
“Pertemuan ini menumpukan perbincangan mengenai sokongan CCCC terhadap dasar-dasar kerajaan yang selari dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), selain menyentuh kemajuan semasa ECRL serta kepentingan memastikan projek ini dilaksanakan mengikut jadual dan memberi limpahan pembangunan ekonomi kepada industri serta kawasan yang terlibat,” katanya melalui hantaran di Facebook.
Anwar turut menegaskan kepentingan persiapan rapi bagi fasa operasi ECRL oleh semua pihak berkepentingan.








