Seorang ejen pinjaman mengaku tidak bersalah atas tuduhan menipu pengurus syarikat dalam urusan pinjaman RM1 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR: Seorang ejen pinjaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menipu seorang pengurus syarikat dalam urusan mendapatkan pinjaman bernilai RM1 juta.
Tertuduh, Tang Ser Chiew, 51, didakwa memperdayakan pengurus syarikat D2D Bizhub Sdn Bhd dengan mengemukakan penyata akaun bank yang tidak sepadan dengan rekod bank berkenaan.
Pendakwaan menyatakan pengarah syarikat terbabit tidak akan menyerahkan wang RM1 juta sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kediaman di Cheras pada 5 Dis 2024, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun, sebatan serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak menawarkan jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin serta memohon tarikh sebutan untuk serahan dokumen.
Peguam Asmawi Ismail yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM20,000 atas alasan anak guamnya telah disahkan bankrap pada 2021.
Hakim Siti Shakirah Mohtarudin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.
Beliau menetapkan sebutan semula kes pada 3 Feb depan.








