Monday, October 27, 2025
30.1 C
Malaysia
spot_img

FIFA lancar Piala ASEAN bersejarah untuk Asia Tenggara

The Sun Webdesk

FIFA lancar Piala ASEAN edisi sulung, langkah bersejarah untuk pembangunan bola sepak serantau dengan penyertaan 11 negara anggota.

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menganggap pengumuman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengenai penganjuran edisi sulung Piala ASEAN FIFA sebagai satu langkah bersejarah dalam pembangunan bola sepak di Asia Tenggara.

Pemangku Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata pengumuman itu amat signifikan bukan sahaja kepada bola sepak di rantau ini tetapi Malaysia khususnya kerana diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung di Kuala Lumpur dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pengumuman ini membawa makna simbolik besar terhadap peranan dan komitmen Malaysia dalam memperkukuh perpaduan serta kerjasama serantau melalui sukan bola sepak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Yusoff berkata penganjuran kejohanan itu juga dijangka membuka lembaran baharu kepada bola sepak Asia Tenggara di bawah bumbung FIFA, selain menjadi platform penting untuk meningkatkan tahap persaingan pasukan-pasukan di rantau ini.

Beliau berkata inisiatif itu juga bakal memperkukuh hubungan antara negara ASEAN dalam semangat kesukanan dan persahabatan, selain meningkatkan mutu pertandingan kerana ia akan berlangsung dalam kalendar rasmi FIFA.

“Kami percaya dengan sokongan padu semua negara anggota dan kepimpinan FIFA, Piala ASEAN FIFA akan menjadi simbol kebangkitan bola sepak Asia Tenggara di pentas dunia,” katanya.

Yusoff bagaimanapun berkata penganjuran kejohanan itu masih di peringkat awal dan memerlukan perbincangan lanjut serta komprehensif sebelum dapat direalisasikan sepenuhnya.

“Apapun, kita berharap penganjuran Piala ASEAN FIFA dapat direalisasikan demi kemajuan bola sepak rantau ini,” katanya.

Semalam FIFA melancarkan Piala ASEAN FIFA yang akan menghimpunkan semua 11 negara anggota ASEAN dalam satu pentas bola sepak serantau terbesar di bawah naungan badan induk bola sepak dunia itu.

Presiden FIFA Gianni Infantino berkata kejohanan itu diwujudkan bagi memberi suntikan semangat baharu kepada bola sepak rantau ini, selain menjadi simbol penyatuan negara-negara ASEAN melalui sukan paling popular di dunia- Bernama

Related

spot_img

Latest

spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img