the sun malaysia ipaper logo 150x150
Monday, December 22, 2025
24.4 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Hannah Yeoh komited tadbir Wilayah Persekutuan secara bersih dan telus

Menteri WP Hannah Yeoh utamakan tadbir urus bersih, perkhidmatan asas dan kerjasama dengan semua Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan.

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh menzahirkan komitmen untuk mentadbir Wilayah Persekutuan secara bersih dari segi persekitaran dan tadbir urus.

Beliau berkata agenda awal pentadbirannya adalah memastikan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menjadi wilayah yang bersih bukan sahaja dari segi persekitaran tetapi juga integriti tadbir urus.

“Itu keutamaan saya,” katanya kepada media selepas melapor diri secara rasmi bersama timbalannya, Datuk Lo Su Fui, di sini hari ini.

Hannah berkata beliau dan timbalannya mempunyai latar belakang dalam bidang undang-undang yang merupakan satu kelebihan untuk memahami tadbir urus dan isu semasa berkaitan perundangan di Wilayah Persekutuan.

Beliau menambah pelantikan strategik Timbalan Menteri dari Sabah juga mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan Labuan menerima perhatian dan sokongan yang lebih tinggi.

Mengulas kebimbangan segelintir pihak berhubung isu perkauman susulan pelantikan beliau, Hannah berkata latar belakang kaum atau warna kulit tidak pernah menjadi faktor penentu dalam pelaksanaan tugasnya sebagai pemimpin.

“Sejak 2008, sama ada sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri, Speaker, Ahli Parlimen Segambut, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Menteri Belia dan Sukan, tumpuan saya sentiasa kekal kepada dasar dan pelaksanaan serta hasil kerja, dan bukan terhadap warna kulit saya,” katanya.

Beliau menegaskan akal dan hatinya sentiasa komited untuk berkhidmat kepada rakyat dan bersedia untuk bekerja dengan segera serta membiarkan rekod pencapaian menjadi bukti.

Berbekalkan pengalaman itu, Hannah berkata beliau akan memberi keutamaan kepada semua Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan selain menjalinkan kerjasama erat dengan mereka.

“Sebagai wakil rakyat, mereka memahami denyut nadi kawasan masing-masing, dan itu adalah suara demokrasi yang wajar didengari serta suara rakyat diwakilkan oleh Ahli-Ahli Parlimen kita,” katanya.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories