PM Anwar kata hutang negara diselesaikan secara berperingkat mengikut tempoh bagi pastikan pembangunan asas seperti pendidikan dan kesihatan tidak terjejas.
KUALA LUMPUR: Hutang negara akan diselesaikan secara berperingkat dan mengikut tempoh yang ditetapkan bagi memastikan pembangunan negara tidak terjejas.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan mengambil keputusan untuk menurunkan jumlah hutang baharu secara berperingkat selepas mengambil kira aspek pembangunan negara.
“Kita boleh menurunkan (hutang) dengan kadar segera tetapi bebannya adalah kepada rakyat,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Beliau menjelaskan hutang baharu telah diturunkan daripada RM100 billion kepada antara RM70 billion dan RM75 billion.
Anwar menjawab soalan tambahan mengenai paras hutang kerajaan yang dikatakan melepasi had statutori 65% daripada KDNK.
Beliau memaklumkan pinjaman baharu kerajaan telah berkurangan kepada kira-kira RM100 billion pada 2021, RM99 billion (2022), RM92 billion (2023) dan RM77 billion (2024).
Penurunan kadar hutang itu mencerminkan keupayaan kerajaan meneruskan projek asas wajib seperti tebatan banjir, prasarana, pendidikan dan kesihatan.
“Saya tidak fikir perkara ini harus mengelirukan kerana apabila ada unjuran defisit kita berkurangan, ini bermakna tanggungan hutang itu juga akan berkurangan,” jelasnya.
Anwar menegaskan kerajaan membayar hutang tersebut mengikut kewajipan pada masa yang ditetapkan.
Beliau berkata jika keadaan ini diteruskan secara konsisten, hutang negara diunjurkan mula menurun pada akhir 2028 atau 2029.
“Oleh itu, langkah-langkah penurunan defisit mesti disegerakan,” tambahnya.







