the sun malaysia ipaper logo 150x150
Saturday, June 27, 2026
29 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

IAIS Malaysia puji keputusan ICJ dalam kes genosid Israel, kesal tiada perintah gencatan senjata

KUALA LUMPUR: Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia memuji Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas keputusan interimnya pada Jumaat berhubung kes genosid yang dimulakan oleh Afrika Selatan terhadap Israel.

Dalam satu kenyataan, Pengerusi IAIS Prof Dr Maszlee Malik berkata keputusan bersejarah itu merupakan satu kejayaan besar bagi isu Palestin dan bukti peranan ICJ sebagai penjaga undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.

“Institut menyanjung tinggi ICJ atas keberanian dan integritinya dalam menangani tuduhan serius genosid terhadap Israel, yang telah menindas rakyat Palestin selama beberapa dekad dengan penjajahan, pendudukan, dan keganasan,“ menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, beliau berkata IAIS Malaysia kesal kerana ICJ tidak mengarahkan gencatan senjata penuh yang penting untuk menamatkan keganasan dan penderitaan di Gaza.

“Institut ini hairan mengapa mahkamah tidak mengambil langkah ini, memandangkan implikasinya terhadap situasi kemanusiaan dan penyelesaian konflik,“ kata Maszlee.

Dalam keputusannya pada Jumaat, ICJ mengarahkan Israel melaksanakan enam langkah sementara, termasuk mencegah pembunuhan beramai-ramai di Gaza, memastikan tenteranya tidak lagi melakukan sebarang tindakan genosid serta mencegah dan menghukum sebarang hasutan ke arah genosid.

Israel juga diarah membenarkan bantuan kemanusiaan memasuki Gaza, menghalang pemusnahan dan memastikan pemeliharaan bukti yang berkaitan dengan dakwaan genosid dan mengemukakan laporan kepada ICJ mengenai semua langkah yang diambil dalam melaksanakan perintah berkenaan dalam tempoh sebulan.

Maszlee berkata IAIS Malaysia juga mendesak Mahkamah Dunia untuk membuat susulan dengan penghakiman penuh dan muktamad mengenai merit kes itu.

Beliau berkata institut itu menyeru ICJ untuk mengeluarkan keputusan muktamad dan komprehensif yang akan memastikan Israel bertanggungjawab atas jenayahnya dan memastikan keadilan dan pampasan bagi mangsa.

Selain itu, Maszlee berkata IAIS Malaysia menekankan keperluan untuk pelaksanaan dan penguatkuasaan keputusan ICJ yang bersifat mengikat undang-undang dan mandatori bagi semua pihak.

“Institut menyeru Israel untuk menghormati dan mematuhi arahan mahkamah dengan memberi amaran bahawa sebarang tindakan membantah atau menghalang akan membawa akibat serius terhadap kedudukan dan hubungannya di peringkat antarabangsa,“ katanya.

Institut juga mendesak masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menyokong dan mengukuhkan keputusan ICJ dan untuk mengambil tindakan dan sekatan yang konkrit terhadap Israel bagi setiap ketidakpatuhan. – Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings