SPRM Pahang reman inspektor polis dan adik lelakinya lima hari disyaki terima rasuah RM30,000 untuk lepaskan suspek jenayah narkotik.
KUANTAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang mereman seorang inspektor polis dan adik lelakinya kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM30,000.
Perbuatan itu didakwa sebagai balasan untuk melepaskan individu yang terlibat dalam kes jenayah narkotik.
Perintah reman lima hari sehingga 24 Januari telah dikeluarkan oleh Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhari di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini.
Menurut sumber, suspek wanita dan lelaki berusia lingkungan 20 dan 30 tahun itu ditahan semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Negeri Pahang.
Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2021 hingga 2025.
“Kedua-dua suspek dipercayai menerima wang rasuah berjumlah antara RM1,000 hingga RM7,000 setiap bulan yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik suspek lelaki,” katanya.
Pengarah SPRM Pahang Mohd Shukor Mahmud mengesahkan penahanan tersebut ketika dihubungi.
Beliau memaklumkan kes itu disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.








