Ketua Pengarah JPA tekankan IPT perlu jadikan integriti nilai teras untuk lahirkan graduan berakauntabiliti dan sokong perkhidmatan awam dinamik.
SINTOK: Institusi pengajian tinggi (IPT) perlu mengekalkan integriti sebagai nilai teras bagi memperkukuh peranan mereka dalam melahirkan warga perkhidmatan awam yang berakauntabiliti.
Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata IPT bukan sahaja berfungsi sebagai pusat ilmu, malah menjadi asas pembentukan kepimpinan serta budaya beretika dalam kalangan graduan.
Beliau menegaskan pentadbir universiti menggalas tanggungjawab besar dalam mentadbir sumber manusia, kewangan, aset dan pelbagai sumber penting lain.
“Di sinilah integriti serta akauntabiliti benar-benar diuji,” katanya dalam ucaptama di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Wan Ahmad Dahlan turut menekankan peranan pensyarah sebagai pembina sahsiah dan ejen perubahan yang berteraskan nilai.
Beliau mengingatkan pelajar supaya menerapkan budaya integriti dan akauntabiliti yang menjadi antara aspek utama penilaian majikan.
Ini khususnya penting bagi mereka yang berhasrat berkhidmat dalam sektor awam.
Beliau menggesa pelajar menolak jalan pintas dalam pembelajaran dan mengamalkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara beretika.
“Ramai pelajar kini semakin bergantung kepada alat seperti ChatGPT, DeepSeek dan Gemini,” katanya.
Wan Ahmad Dahlan berkata teknologi ini memberi manfaat jika digunakan dengan betul, namun boleh memudaratkan sekiranya mewujudkan kebergantungan penuh tanpa usaha sendiri.
Beliau menegaskan kerajaan amat memerlukan sumbangan berterusan ahli akademik melalui penyelidikan.
Penyelidikan ini bagi menyokong perkhidmatan awam yang berintegriti, berakauntabiliti serta dinamik, cekap dan berkesan. – Bernama








