Janin lelaki berusia 25 minggu ditemui dalam lori sampah di Bukit Jalil mengalami kecederaan serius pada perut dan tengkorak kepala pecah
KUALA LUMPUR: Janin bayi yang ditemui dalam sebuah lori sampah di Bukit Jalil, Cheras mengalami beberapa kecederaan serius pada tubuh.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Aidil Bolhassan berkata janin lelaki itu berusia kira-kira 25 minggu dan sepanjang 35 sentimeter.
Janin tersebut mengalami kecederaan pada perut selain tengkorak kepala pecah dan tali pusat putus.
“Setakat ini empat individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Polis mengesahkan penemuan janin bayi itu oleh seorang pekerja syarikat pengurusan alam sekitar semasa memunggah sampah ke dalam lori pada pukul 12.30 tengah hari semalam.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu merujuk kepada mengelakkan anak daripada dilahirkan hidup atau hendak menyebabkannya mati selepas dilahirkan. – Bernama







