JKDM catat kutipan hasil RM76.18 bilion pada 2025, melebihi sasaran sebanyak RM8.93 bilion dan meningkat 16.18% berbanding tahun sebelumnya.
PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merekodkan kutipan hasil berjumlah RM76.18 bilion pada 2025.
Jumlah itu merupakan lebihan sebanyak RM8.93 bilion berbanding unjuran hasil awal tahun iaitu RM67.25 bilion.
Ketua Pengarah JKDM Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata kutipan pada 2025 meningkat 16.18% atau RM10.61 bilion berbanding RM65.57 bilion pada 2024.
BACA: Kastam Johor rampas 13.17 kg ganja bernilai RM1.29 juta dalam dua kes
Beliau berkata prestasi kutipan hasil itu menunjukkan trend peningkatan konsisten dan berimpak tinggi dari 2022 hingga 2025.
“Secara keseluruhannya, pencapaian ini mencerminkan peningkatan dua tahun berturut-turut melebihi RM10 bilion secara konsisten bagi tempoh 2024 dan 2025,” katanya dalam sidang media.
Anis Rizana menambah ia menzahirkan keberkesanan pendekatan strategik JKDM dalam memperkukuh pematuhan cukai, penguatkuasaan dan pemudah cara perdagangan.
Mengenai sasaran kutipan hasil untuk tahun ini, beliau berkata perkara itu masih dalam perbincangan dengan Kementerian Kewangan.
“JKDM terus memainkan peranan strategik dalam menyokong agenda reformasi fiskal negara serta memastikan kelestarian kewangan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Sementara itu, JKDM telah melaksanakan pemindahan 1,053 waran perjawatan pegawai kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di 22 pintu masuk setakat 1 Oktober 2025.
“Walaupun berdepan cabaran peralihan sumber manusia, JKDM kekal berupaya mengekalkan prestasi pungutan hasil yang memberangsangkan,” jelasnya.
Pencapaian itu dicapai melalui pengoptimuman proses kerja, penstrukturan operasi dan penggunaan teknologi secara strategik. – Bernama








