Kerajaan Johor jamin pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura tidak ganggu bekalan asas, dengan rancangan infrastruktur elektrik dan air jangka panjang.
JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor akan memastikan pembangunan strategik termasuk di Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS–SEZ) tidak menjejaskan keperluan asas rakyat.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata bekalan elektrik dan air akan sentiasa diutamakan.
Beliau berkata setiap pelaburan termasuk pusat data dan industri berintensif tinggi hanya akan dipertimbangkan selepas penilaian teknikal yang ketat.
BACA: Malaysia, Singapura dan Indonesia bincang kerjasama tiga hala JS-SEZ
Pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Ranhill SAJ (RSAJ) bagi membincangkan perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang.
“Pihak TNB telah membentangkan bahawa bekalan elektrik di JS–SEZ berada pada tahap mencukupi dan terkawal,” katanya dalam hantaran Facebook.
Sehingga Disember 2025, kapasiti terpasang adalah sebanyak 3,885 MVA dengan permintaan semasa 1,272 MW.
Penggunaan semasa berada pada 72.76% dan masih dalam margin operasi sihat.
Bagi kesiapsiagaan jangka panjang, rancangan pembangunan infrastruktur grid secara berfasa telah diluluskan.
Ia melibatkan empat pencawang masuk utama (PMU) dengan kapasiti 630 MVA.
Sembilan PMU tambahan dengan kapasiti 1,620 MVA kini dalam perancangan.
Bagi bekalan air di kawasan JS–SEZ sehingga Januari 2026, peruntukan kapasiti adalah 1,488 juta liter sehari (JLH).
Pengeluaran semasa ialah 1,261 JLH, menyediakan rizab kira-kira 227 JLH atau 15%.
Kerajaan negeri bersama kerajaan Persekutuan telah meluluskan projek rezoning bernilai RM1.02 bilion.
Projek itu bagi meningkatkan kecekapan sistem air terawat dengan kapasiti tambahan 260 JLH.
Fokus projek adalah di Iskandar Puteri dan Sedenak.
Johor juga merancang dan melaksanakan lima projek Loji Rawatan Air (LRA) baharu serta projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS).
Projek itu dilaksanakan secara berperingkat dengan kerjasama RSAJ, SPAN dan PAAB.
“Projek yang dilaksana secara berperingkat itu bukan sahaja dapat memastikan bekalan air mencukupi tetapi menyokong pertumbuhan negeri sehingga 2035,” kata Onn Hafiz.
Secara keseluruhan, projek air akan menyediakan lebih 1,100 JLH kapasiti baharu.
Ia bagi memastikan bekalan air Johor kekal mencukupi, stabil dan selamat untuk rakyat.
Inisiatif ini juga menyokong pembangunan industri dan ekonomi negeri dalam jangka panjang tanpa menjejaskan bekalan awam. – Bernama








