IPOH: Sebanyak 32 kenderaan mewah pelbagai model telah disita menerusi Ops Luxury yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan Perak bermula 1 Julai lepas.
Pengarah JPJ Perak Mohammad Yusoff Abustan berkata operasi itu bertujuan memperkukuh penguatkuasaan terhadap pemilikan dan penggunaan kenderaan mewah yang melanggar undang-undang jalan raya.
Beliau berkata ia termasuk tumpuan kesalahan seperti cukai jalan tamat tempoh, insurans tidak sah, nombor pendaftaran palsu atau tidak mengikut spesifikasi, nombor casis tidak sepadan serta pemandu yang tidak memiliki lesen memandu sah.
Antara jenama kenderaan yang terlibat adalah Lexus, Mercedes-Benz, BMW, Tesla, Audi, Toyota Alphard, Toyota Vellfire, Ford Mustang, Porsche dan Nissan GTR.
Mohammad Yusoff berkata kes terbaharu melibatkan sebuah kenderaan Porsche 718 Cayman S yang disita di Ipoh pada 16 Oktober lepas atas kesalahan Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh.
JPJ Perak menegaskan tidak ada sebarang keistimewaan diberikan kepada pemilik kenderaan mewah untuk mengabaikan tanggungjawab mematuhi peraturan jalan raya.
Penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi memastikan setiap kenderaan di jalan raya berdaftar dan dilindungi mengikut undang-undang yang ditetapkan.
Mohammad Yusoff berkata pemilik perlu menjelaskan kompaun dan melunaskan pembayaran cukai jalan serta insurans terlebih dahulu, sebelum kenderaan mereka boleh dikeluarkan daripada sitaan.
Terdapat pemilik yang lebih rela membayar saman 300 ringgit daripada memperbaharui cukai jalan yang lebih tinggi.
Ini taktik digunakan pemilik kenderaan mewah dan ia mendapat perhatian penguat kuasa JPJ dan kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan. – Bernama










