JPJ Selangor mula guna kamera badan (BWC) dalam operasi penguatkuasaan untuk sokongan bukti dan lindungi anggota daripada tuduhan palsu.
KAJANG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor telah melaksanakan pemakaian kamera badan (BWC) kepada anggota penguat kuasa mulai Isnin lepas.
Pengarah JPJ Selangor Azrin Borhan (gambar) berkata langkah itu adalah strategik untuk meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan integriti semasa operasi di lapangan.
Beliau menyatakan rakaman visual dan audio melalui BWC berfungsi sebagai bahan sokongan bukti yang sah.
“Pemakaian BWC juga bertujuan melindungi anggota penguat kuasa daripada sebarang salah faham, tuduhan tidak berasas atau gangguan semasa menjalankan tugas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai Ops Khas Bersepadu JPJ Selangor di Plaza Tol Sungai Ramal.
Azrin turut menyatakan JPJ Selangor komited melaksanakan Operasi Perang Lebih Muatan yang berkuat kuasa sehingga 31 Disember ini.
Setakat Rabu lepas, 22 kenderaan lebih muatan telah ditahan manakala 39,555 notis atas pelbagai kesalahan dikeluarkan.
Kesalahan tertinggi melibatkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh sebanyak 5,160 notis.
Ini diikuti tiada lesen memandu kompeten (4,440 notis), tiada insurans (3,492 notis) dan tiada lesen vokasional (2,299 notis).
“Penguatkuasaan bukan bertujuan menghukum semata-mata, sebaliknya bagi mendidik serta memastikan semua pengendali dan pemilik kenderaan perdagangan mematuhi spesifikasi teknikal,” jelasnya.
Tindakan tegas akan terus diambil tanpa pengecualian terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan.
Orang ramai diminta menyalurkan aduan berkaitan kenderaan perdagangan melalui aplikasi MyJPJ, e-Aduan@JPJ atau e-mel ke aduantrafik@jpj.gov.my.
Mengenai operasi di Plaza Tol Sungai Ramal, seramai 45 individu diperiksa oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Lapan lelaki berumur lingkungan 30-an hingga 40-an disahkan positif dadah jenis methamphetamine serta ganja.
Antara yang ditahan ialah seorang pemandu e-panggilan berusia 47 tahun yang mengaku mengambil dadah sejak 2021.
Pada operasi itu, 2,185 kenderaan diperiksa dengan 301 daripadanya diambil tindakan.
Sebanyak 422 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk CDL, LKM tamat tempoh dan tiada insurans.
Tiga kereta dan 13 motosikal turut disita manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan 21 saman. – Bernama








