JSJN akan tambah anggota di Kelantan, Kedah dan Perlis bagi perkukuh penguatkuasaan banteras penyeludupan dadah di sempadan
KOTA BHARU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan menambah keanggotaannya di negeri bersempadan bagi memperkukuh penguatkuasaan membanteras penyeludupan dadah.
Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan (gambar) berkata Perlis, Kedah dan Kelantan diberi keutamaan susulan rekod kes penyeludupan yang tinggi.
“Pada 2025 sahaja, 62 kes penyeludupan dadah berskala besar berjaya ditumpaskan di sempadan tiga negeri ini, termasuk 15 kes atau 25% melalui laluan haram Kelantan-Thailand,” katanya.
Beliau berkata walaupun banyak jeti haram di Kelantan telah dirobohkan, sindiket masih menggunakan taktik baharu dan lorong tidak berdaftar bagi menjalankan kegiatan mereka.
“Sekiranya ada penambahan jawatan, negeri-negeri sempadan ini akan menjadi keutamaan untuk memperkukuh operasi di lapangan,” katanya.








