Vincent Sak Zhan Sheng mengaku tidak bersalah atas pertuduhan perdagangan tiga individu termasuk dua remaja bawah umur bagi tujuan eksploitasi kerja.
JOHOR BAHRU: Seorang jurujual mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdagangkan tiga individu termasuk dua remaja bawah umur bagi tujuan eksploitasi kerja.
Vincent Sak Zhan Sheng, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Bagi pertuduhan pertama, dia bersama lima individu lain didakwa memperdagangkan Thay Pick Yong, 26, dengan cara memperdaya mangsa di sebuah premis di Taman Lagenda Putra, Kulai antara 23 Mac hingga 23 Mei tahun ini.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Peruntukan hukuman maksimum bagi kesalahan tersebut adalah penjara 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Sak dan kelima-lima individu turut berdepan dua pertuduhan memperdagangkan seorang remaja lelaki serta perempuan masing-masing berumur 16 dan 15 tahun di premis sama bagi tujuan sama antara April hingga 23 Mei 2025.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 14 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Amirah Tasnim Saleh mencadangkan jaminan RM25,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan sekiranya dibenarkan.
Peguam Datin Freda Sabapathy memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya bekerja sebagai jurujual berpendapatan RM3,500 dan menanggung ibu tunggal.
Hidayatul Syuhada membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
Syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis setiap bulan.
Tertuduh juga dilarang mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 13 Januari depan bagi sebutan semula kes untuk serahan dokumen.







