Seorang jurujual kenderaan maut di tempat kejadian selepas keretanya bertembung dengan lori muatan kelapa sawit di Jalan Pantai Kuala Terengganu-Permaisuri
BANDAR PERMAISURI: Seorang jurujual kenderaan maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori muatan kelapa sawit di Kilometer 50 Jalan Pantai Kuala Terengganu-Permaisuri.
Kejadian berlaku berhampiran Kampung Telaga Putat pada pukul 6.11 petang semalam.
Mangsa, Tuan Nur Amirah Tuan Azhar, 32, dari Kampung Pak Kancil Luar, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Setiu Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi mangsa dari arah Kuala Terengganu memasuki laluan bertentangan.
“Kereta mangsa yang menghala ke Pasir Puteh, Kelantan itu kemudian bertembung dengan lori Hino dari arah Pantai Penarik,” katanya.
Lori itu dalam perjalanan menghantar muatan kelapa sawit ke Kampung Rahmat ketika kemalangan berlaku.
Kejadian itu menyebabkan kereta mangsa remuk teruk pada bahagian hadapan.
Lori yang terlibat pula terbalik di tempat kejadian.
Pemandu lori berusia 41 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk proses selanjutnya.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama







