the sun malaysia ipaper logo 150x150
Sunday, December 14, 2025
22.1 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

KADA: Pesawah rugi RM2.3 juta akibat banjir, pampasan takaful RM2.2 juta dibayar

KADA catat kerugian pesawah RM2.3 juta akibat banjir, dengan pampasan takaful tanaman padi melebihi RM2.2 juta telah dibayar kepada petani terjejas

KOTA BHARU: Pesawah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) mencatatkan kerugian melebihi RM2.3 juta susulan banjir Monsun Timur Laut.

Pengerusi KADA Khalid Abdul Samad berkata kerugian itu melibatkan kemusnahan tanaman padi seluas 741.78 hektar yang diusahakan 269 pesawah di Tumpat, Pasir Puteh dan Bachok.

Beliau bagaimanapun berkata hampir keseluruhan kerugian itu telah menerima pampasan melalui Skim Takaful Tanaman Padi berjumlah lebih RM2.2 juta.

“Pampasan diberikan pada kadar RM3,000 bagi setiap hektar tanaman padi yang terjejas dan melebihi tempoh 76 hari,” katanya selepas menghadiri Majlis Jasamu Dikenang Tahun 2025 KADA.

Khalid berkata kira-kira 90 peratus daripada 7,200 pesawah di bawah KADA telah mendaftar skim takaful itu.

Kerajaan memperuntukkan RM50 juta bagi bayaran premium skim berkenaan manakala pesawah hanya perlu mendaftar.

“Baki pesawah yang belum mendaftar kebanyakannya berdepan masalah dokumentasi tanah,” katanya.

Sementara itu, KADA memperuntukkan RM700,000 bagi kerja-kerja pembersihan sistem saliran dan pengairan sepanjang 58 kilometer.

“Inisiatif ini diharap dapat mengurangkan risiko dan kesan banjir pada masa hadapan,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan penanaman padi musim kedua tahun ini telah bermula pada 1 Disember lepas.

Khalid juga menyentuh keperluan pembinaan empangan bagi pengurusan air, namun menegaskan urusan itu adalah tanggungjawab Jabatan Pengairan dan Saliran. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories