Kementerian Komunikasi akan perhebat Kempen Internet Selamat 2.0 tahun depan, libatkan Komuniti MADANI dan lancar jelajah mega seluruh negara.
PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi akan memperhebat pelaksanaan Kempen Internet Selamat 2.0 pada tahun hadapan bagi memperkukuh tahap keselamatan dalam talian.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil, berkata kempen itu akan memberi tumpuan khusus kepada keselamatan kanak-kanak dan keluarga.
Kempen Internet Selamat 1.0 yang dilaksanakan sepanjang tahun ini melibatkan hampir 8,500 sekolah, melepasi sasaran awal 8,000 sekolah.
Lebih 400,000 peserta menyertai pelbagai program kesedaran keselamatan Internet di bawah kempen fasa pertama itu.
Fahmi berkata usaha ini perlu dilipatgandakan tahun hadapan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diminta menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Komuniti MADANI.
“Kita nak libatkan semua Komuniti MADANI menjadi ejen komunikasi menyampaikan mesej yang sama, iaitu untuk memastikan Internet itu selamat,” katanya.
Beliau menegaskan ibu bapa juga mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk memastikan anak-anak sentiasa selamat semasa melayari Internet.
Fahmi berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan bagi November dan Disember Kementerian Komunikasi di Putrajaya.
Kementerian Komunikasi akan melancarkan mega jerayawara keselamatan Internet bersempena Hari Keselamatan Internet Sedunia pada Februari depan.
Jerayawara itu merupakan jelajah ke seluruh negara bagi memastikan mesej keselamatan Internet difahami sehingga peringkat akar umbi.
Fahmi berkata penjenayah khususnya penjenayah seksual terhadap kanak-kanak, penjenayah scam dan penjenayah judi dalam talian telah merebak ke platform media sosial.
Bagi menangani perkara itu, kerajaan telah memperkukuh kerangka perundangan dengan mentakrifkan beberapa perbuatan sebagai kesalahan jenayah.
Kesalahan itu termasuk fraud, scam, buli siber dan doxing atau tindakan menyebarkan maklumat peribadi seseorang.
“Buli siber telah dipinda Kanun Keseksaan yang sekarang telah mentakrifkan buli secara fizikal atau siber sebagai satu kesalahan,” jelasnya.
“Doxing juga dengan menyebarluaskan maklumat peribadi seseorang dengan niat menimbulkan kegentaran, menakut-nakutkan itu, sekarang ialah satu kesalahan.”
Beliau berkata usaha itu selaras dengan penguatkuasaan beberapa akta seperti Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) dan Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025.
Pelaksanaan Peruntukan Deeming di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 juga akan dikuatkuasakan.
Di bawah peruntukan itu, semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial dengan lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia akan secara automatik dianggap berdaftar.
Mereka akan dianggap sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP(C)] bermula 1 Januari 2026.
“Ini bermakna, sekiranya kita bekerjasama dengan kementerian-kementerian, jabatan-jabatan yang lain, agensi-agensi penguatkuasaan, menjelang tahun depan, insya-Allah Internet kita akan menjadi lebih selamat,” katanya.
“Jadi dengan adanya OnSA, dan dengan disifatkan platform-platform ini sebagai telah dilesenkan, kita percaya beberapa perkara akan dapat diusahakan bersama.”
Fahmi yakin usaha bersama itu akan memastikan Internet di Malaysia lebih selamat terutama untuk kanak-kanak dan keluarga. – Bernama








