Mahkamah Tinggi benarkan kerajaan tangguh bayaran ganti rugi lebih RM37 juta kepada keluarga pastor Raymond Koh sementara menunggu rayuan.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan bayaran ganti rugi lebih RM37 juta kepada keluarga pastor Raymond Koh.
Hakim Mahazan Mat Taib berkata kerajaan berjaya membuktikan keadaan khas bagi membenarkan penangguhan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.
“Berdasarkan imbangan keadilan, saya berpuas hati bahawa tiada sebarang kerugian material dibuktikan oleh pihak plaintif sekiranya penangguhan pelaksanaan diberikan,” katanya.
Beliau berkata pengeluaran dana berkenaan tidak selaras dengan peraturan dan prosedur kewangan yang mengawal dana awam.
Peruntukan kerajaan melibatkan pelbagai peringkat pengawasan perakaunan dan audit yang tidak boleh diproses seperti urusan peribadi.
Oleh itu, mahkamah mengakui bahawa dari sudut praktikal, pembayaran itu adalah luar biasa dan rumit dari segi pentadbiran.
Hakim berkata imbangan keadilan memihak kepada mengekalkan status quo sementara menunggu rayuan.
Pada 5 November tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Su Tiang Joo memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi lebih RM37 juta kepada isteri Koh, Susanna Liew Sow Yoke.
Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap keputusan itu pada hari berikutnya.
Liew memfailkan saman terhadap polis dan kerajaan berhubung kehilangan suaminya serta cara pihak berkuasa menyiasat kes tersebut.
Raymond Koh dilaporkan diculik sekumpulan lelaki bertopeng ketika memandu di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017.








