Orang ramai diingatkan buat persediaan awal hadapi Monsun Timur Laut susulan amaran hujan berterusan sehingga 8 Disember di beberapa negeri
PUTRAJAYA: Orang ramai diingatkan supaya membuat persediaan awal dan sentiasa berwaspada menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) susulan amaran hujan berterusan yang dijangka berlarutan sehingga 8 Dis di beberapa negeri.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata setakat pagi tadi, Kabinet dimaklumkan bahawa jumlah mangsa banjir yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) menurun kepada 3,147 orang, manakala empat PPS telah ditutup, menjadikan 49 PPS masih beroperasi.
“Bagi persiapan menghadapi MTL, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof telah memberi sedikit taklimat mengenai kesiapsiagaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) termasuk keperluan meningkatkan langkah bersiap siaga.
“Orang ramai diingatkan untuk mengambil maklum dan membuat perancangan yang bersesuaian bagi menghadapi MTL, terutama dalam beberapa hari akan datang,” katanya kepada media selepas menghadiri Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa Peringkat Kebangsaan, di sini hari ini.
Fahmi, yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghubungi Presiden Indonesia Prabowo Subianto lewat petang ini, bagi membincangkan bentuk bantuan yang boleh disalurkan Malaysia untuk membantu negara jiran berkenaan, selain menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa banjir dan kejadian tanah runtuh di Sumatera.
Jabatan Meteorologi Malaysia pada Rabu lepas mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dijangka melanda beberapa negeri di Semenanjung, Sarawak dan Sabah dari 5 hingga 8 Dis ini. – Bernama







