Kerajaan akan semak SOP dan proses pelesenan di DBKL, Putrajaya dan Labuan bagi memudahkan transaksi dan akses orang ramai
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyemak semula prosedur operasi standard serta proses pelesenan dan transaksi harian di tiga pihak berkuasa Wilayah Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata semakan itu akan dilaksanakan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan.
Beliau berkata langkah itu bagi memastikan proses berkenaan menjadi lebih mudah dan senang diakses oleh orang ramai.
“Saya komited untuk memudahkan transaksi perniagaan di Kuala Lumpur,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Hannah turut menyatakan komitmen untuk mengurus Wilayah Persekutuan dengan lebih telus dan mendapat kerjasama yang lebih baik daripada sektor swasta.
Beliau percaya perniagaan yang berkembang maju dan hubungan komuniti yang erat dapat bergerak seiringan.
Menteri itu berkata semakan akan dilaksanakan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Ucapan beliau dibuat bersempena ulang tahun Persekutuan Persatuan Syarikat Motor dan Kredit Malaysia Kuala Lumpur dan Selangor ke-58.
Hannah mengucapkan tahniah dan berharap dapat menjalin kerjasama yang lebih erat dengan pihak persekutuan itu pada masa hadapan.








