Kerajaan lonjak sokongan PMKS melalui perkongsian strategik GLC, dana pelaburan, pembiayaan projek dan program pembangunan kapasiti dalam RMK13
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengutamakan usaha membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai melalui perkongsian strategik dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan juga melonjakkan skala sokongan melalui inisiatif seperti dana pelaburan strategik, penambahan modal kerja, pembiayaan projek dan program pembangunan kapasiti.
“Kerajaan akan menyokong PMKS melalui intervensi bersasar seperti sistem logistik, pemudahan pensijilan termasuk pensijilan halal, serta memudah cara untuk akses yang lebih baik kepada pasaran eksport,” katanya ketika merasmikan Persidangan Tinjauan Ekonomi Negara (NEOC).
Beliau berkata sektor pembiayaan swasta juga memainkan peranan penting dalam membolehkan usahawan berinovasi dan meningkatkan perolehan pada kadar lebih pantas.
Amir Hamzah yang juga menjalankan fungsi Menteri Ekonomi menegaskan institusi pembiayaan perlu terus berinovasi dalam membangunkan penyelesaian berkesan dan pendekatan pengurusan risiko.
Malaysia boleh bergerak maju dengan yakin ke arah menjadi ekonomi yang benar-benar dipacu inovasi dengan mengamalkan kreativiti dan kerjasama, katanya.
“Bersama-sama, kita dapat membentuk masa depan apabila kemajuannya bersifat inklusif, mampan dan unik mengikut acuan kita sendiri,” ujarnya.
Beliau menekankan teknologi bukan sahaja memperluas capaian pasaran dan keterlihatan PMKS malah menyerlahkan potensi keusahawanan mereka. – Bernama







