Kementerian Kesihatan catat penurunan 61.3% kematian denggi, lancar Insektarium Wolbachia Putrajaya untuk kawalan vektor secara bersepadu
PUTRAJAYA: Kes kematian akibat denggi di Malaysia mencatatkan penurunan 61.3% kepada 43 kes berbanding 111 kes pada tahun lepas.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kes denggi secara keseluruhan juga turun 56.5% kepada 51,046 kes setakat 6 Disember.
“Kita mahu apabila Disember ini tamat, kita dapat kekalkan 51,046 kes iaitu 56.5% penurunan,” katanya.
Beliau mengucapkan tahniah kepada program kesihatan awam dan semua pihak yang terlibat dalam mengawal kes denggi.
Dzulkefly berkata demikian pada majlis perasmian Insektarium Wolbachia Putrajaya di sini hari ini.
Insektarium Wolbachia Putrajaya adalah fasiliti kedua yang dibangunkan bagi memperkukuh pelaksanaan Pelepasan Nyamuk Aedes berWolbachia.
Kaedah biologi ini bertujuan memerangi nyamuk Aedes yang menyebarkan virus denggi.
KKM terus memperkukuh strategi pencegahan dan kawalan denggi secara bersepadu melalui pelbagai agensi dan komuniti setempat.
Sejak 2019, KKM memperkenalkan pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia sebagai penyelesaian inovatif.
Intervensi ini melengkapkan pendekatan sedia ada seperti pemusnahan tempat pembiakan dan kawalan kimia.
Pendekatan ini selari dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk kawalan vektor secara bersepadu dan mampan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata pihaknya komited membantu KKM mengurangkan kes denggi.
Beliau berkata penyediaan bangunan untuk insektarium itu membuktikan komitmen pihak berkuasa tempatan.
“Kita menggunakan bangunan yang telah lama tidak digunakan dan kita alih fungsi kepada satu bangunan yang dapat dimanfaatkan KKM,” katanya. – Bernama







