Kes saman fitnah Najib Razak terhadap Tommy Thomas selesai secara baik, dengan Thomas akui tiada bukti kaitan Najib dengan pembunuhan Altantuya
SHAH ALAM: Kes saman fitnah Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dan GB Gerakbudaya Enterprise Sdn Bhd telah diselesaikan secara baik.
Penyelesaian itu direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Khadijah Idris.
Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, memaklumkan kedua-dua pihak telah mencapai keputusan bersama.
Beliau berkata Thomas mengakui bahawa sejak penerbitan buku ‘My Story: Justice in the Wilderness’ pada 2021, beliau tidak menyedari kewujudan sebarang bukti yang mengaitkan Najib dengan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.
“Anda boleh anggap ini satu kemenangan kerana tiada sebarang bukti seperti yang diakui oleh pihak defendan,” katanya.
Shafee menambah penyelesaian ini sepatutnya menamatkan semua khabar angin dan cakap-cakap tidak berasas mengenai Najib.
Kes saman itu berkaitan dakwaan dalam buku Thomas yang diterbitkan oleh GB Gerakbudaya Enterprise.








