Zaharudin Muhammad mengaku tidak bersalah di mahkamah atas tuduhan sertai perhimpunan menyalahi undang-undang di Kampung Sungai Baru
KUALA LUMPUR: Ketua PAS Sungai Buloh Zaharudin Muhammad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang.
Beliau didakwa bersama tujuh individu lain semasa operasi pengosongan Kampung Sungai Baru tahun lepas.
Tertuduh yang berusia 49 tahun itu merupakan menantu kepada Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Mereka dituduh menyertai perhimpunan bagi menentang notis pengosongan meskipun arahan bersurai telah dikeluarkan.
Perbuatan itu didakwa berlaku di Jalan Datuk Abdul Malik, Kampung Sungai Baru antara 10.50 pagi hingga 11.14 pagi pada 11 September 2025.
Tuduhan dibawa mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Wirna Arifin menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.
Peguam Latheefa Koya memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya adalah penanggung tunggal keluarga.
Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan dua penjamin.
Mahkamah menetapkan 24 Februari ini untuk sebutan kes.
Terdahulu, peguam memaklumkan Zaharudin telah memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi pada 31 Disember lepas.
Saman itu bagi memperoleh deklarasi bahawa Seksyen 145 Kanun Keseksaan yang digunakan adalah bercanggah dengan Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.








