Inisiatif Rakan KKM ialah model baharu kekalkan pakar perubatan dalam perkhidmatan awam dengan imbuhan setimpal, kata Menteri Kesihatan.
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan bahawa inisiatif Rakan KKM bukanlah bentuk penswastaan.
Ia merupakan model baharu untuk mengekalkan pakar perubatan dalam perkhidmatan awam dengan imbuhan setimpal.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata inisiatif itu menangani cabaran mengekalkan pakar, pegawai perubatan dan jururawat daripada berhijrah ke sektor swasta.
BACA: Program Rakan KKM di Hospital Cyberjaya bermula Disember ini
“Rakan KKM merupakan platform baharu yang memberi ruang kepada mereka menonjolkan keupayaan klinikal dengan imbuhan setimpal tanpa perlu meninggalkan perkhidmatan,” katanya di Dewan Negara.
Beliau menegaskan petugas kesihatan akan terus menunaikan tanggungjawab penuh kepada pesakit awam.
Perkhidmatan di bawah Rakan KKM hanya dijalankan mengikut temu janji dan menggunakan slot khusus untuk prosedur elektif.
Program itu dilaksanakan oleh Rakan KKM Sdn Bhd (RKSB), sebuah entiti milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).
Kawal selia dilakukan sepenuhnya oleh KKM dengan peruntukan awal fasa pertama sebanyak RM25 juta.
Fasa pertama bermula di Hospital Cyberjaya melibatkan perkhidmatan Ortopedik serta Perubatan Dalaman.
Proses pelesenan di bawah Akta 586 dan pemuktamadan perjanjian operasi sedang dijalankan.
Hospital Cyberjaya bakal melesenkan 20 katil, empat katil rawatan harian, satu bilik pembedahan serta dua klinik pakar.
Tarikh permulaan operasi akan dimuktamadkan selepas kelulusan lesen dan perjanjian selesai.
KKM akan menubuhkan Akaun Amanah Rakan KKM di bawah Akta Tatacara Kewangan 1957.
Dana dalam akaun amanah itu akan digunakan semula bagi menaik taraf kemudahan dan meningkatkan perkhidmatan kesihatan awam.
Audit dalaman dan pemantauan Jabatan Audit Negara akan memastikan ketelusan pengurusan kewangan.
Anggaran pendapatan tahunan akan diperincikan setelah RKSB memuktamadkan struktur caj dan kadar bayaran. – Bernama







