KKM sasar haramkan vape sistem terbuka tahun ini, tidak berkompromi dalam penguatkuasaan Akta 852. Inisiatif Rakan KKM pula dijangka dilancarkan suku pertama 2026.
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan untuk melaksanakan pengharaman vape bermula dengan jenis sistem terbuka pada tahun ini.
Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya tidak akan berkompromi dalam penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
“Berhubung isu rokok dan vape, pendirian saya kekal,” katanya.
Beliau menegaskan penguatkuasaan penuh akta itu adalah tanggungjawab moral untuk melindungi generasi akan datang daripada ancaman penyakit tidak berjangkit dan popcorn lung.
“Mungkin kita akan membuat beberapa langkah tetapi langkah pertamanya adalah untuk haramkan jenis sistem terbuka yang telah disalahgunakan dengan pelbagai dadah sintetik,” jelasnya.
Pengharaman itu akan meliputi penjualan dan penggunaan vape jenis sistem terbuka.
Perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat.
Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata inisiatif Rakan KKM dijangka dilancarkan pada suku pertama tahun ini.
Inisiatif itu menawarkan perkhidmatan kesihatan bertaraf ekonomi premium di hospital kerajaan terpilih.
“Menjelang suku pertama 2026, kita bakal menerima pesakit pertama di bawah inisiatif Rakan KKM,” ujarnya.
Beliau menjelaskan model ekonomi premium itu membolehkan subsidi silang berlaku.
Ini sekali gus membantu mengekalkan pakar perubatan di dalam sistem awam.
Hospital Cyberjaya akan menjadi hospital KKM pertama yang menawarkan perkhidmatan itu sebelum diperluas ke hospital lain.








