Raja Permaisuri Agong titah konsert The Symphony of Friendship 2.0 lambang kerjasama kukuh antara Malaysia dan Singapura di Dewan Filharmonik Petronas
KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah bertitah Konsert The Symphony of Friendship 2.0 merupakan simbol kerjasama dan persahabatan kukuh antara Malaysia dan Singapura.
Seri Paduka Baginda menegaskan konsert itu melambangkan kerjasama, persahabatan dan perkongsian matlamat yang berkekalan.
Ia juga meraikan keupayaan muzik untuk menyatupadukan masyarakat dan memupuk persefahaman lebih mendalam antara kedua-dua negara.
“Kita semua sedar tentang ketidaktentuan, bencana alam semula jadi serta konflik yang membelenggu pelbagai rantau di dunia.”
“Namun muzik, yang tidak terikat kepada bangsa, kaum, pangkat atau latar belakang, mampu menyentuh dan mengingatkan kita semua tentang nilai-nilai kemanusiaan,” titah baginda ketika menghadiri konsert di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC.
Maklumat dan foto keberangkatan Seri Paduka Baginda dikongsikan menerusi laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Konsert itu merupakan penganjuran kali kedua oleh Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor dan Yayasan Temasek.
Edisi pertama diadakan pada 2023 di Permaisuri Zarith Sofiah Opera House, Johor Bahru.
Edisi tahun ini menampilkan persembahan inklusif melibatkan Malaysia Philharmonic Youth Orchestra, pemuzik Kementerian Pendidikan Malaysia dan The Purple Symphony dari Singapura.
Ia turut menampilkan penampilan istimewa Jaclyn Victor, Nadeera dan Suki Low.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Datin Paduka Ho Ching.
Ho Ching merupakan isteri bekas Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor Hishamudin Abd Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Temasek Singapura Ng Boon Heong. – Bernama







