KPM meluluskan pembinaan bilik darjah tambahan di sekolah padat Selangor sebagai langkah jangka pendek bagi tangani isu kelas sesak
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) meluluskan segera pembinaan bilik darjah tambahan bagi sekolah-sekolah padat di Selangor.
Langkah jangka pendek itu bagi menangani masalah kelas sesak dan kekurangan prasarana yang menjejaskan pembelajaran murid.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dan pasukan kementerian.
“Setelah melihat intervensi jangka pendek, saya luluskan segera semua pembinaan bilik darjah tambahan bagi sekolah-sekolah (padat) tersebut,“ katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata isu sekolah padat akan memberi kesan kepada keberkesanan pembelajaran.
Semua pembinaan bilik darjah tambahan bagi sekolah terlibat akan dilaksanakan segera secara berfasa.
Fadhlina turut mengarahkan penambahan waran guru bagi menangani isu kekurangan guru di sekolah-sekolah padat berkenaan.
Sekolah-sekolah baharu yang sedang dibina juga akan diberikan perhatian segera.
Ini bagi memastikan perancangan pendidikan dapat memenuhi keperluan semasa.
Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 mengutamakan penyediaan suasana pembelajaran yang kondusif serta prasarana selesa.
“Jangan kerja sebab viral, kita kerja kerana itu memang kerja kita,“ katanya.
Mesyuarat seterusnya akan diadakan bersama JPN Kedah bagi menangani isu sekolah padat di negeri berkenaan.








