Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi perkenal strategi ABCD fokus pada produktiviti, birokrasi, modal dan akses pasaran untuk PMKS.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menggariskan empat teras utama bagi memperkukuh daya saing perniagaan tempatan.
Menterinya, Steven Sim, berkata strategi yang dipanggil “ABCD” itu memberi fokus kepada Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran.
“Saya minta supaya seluruh warga KUSKOP, sama ada di kementerian atau pun agensi untuk menumpukan misi kita memperhebat perniagaan Malaysia melalui strategi ini,” katanya.
Komponen A memberi penekanan kepada peningkatan produktiviti perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui pembangunan kemahiran dan penggunaan teknologi.
Bagi komponen B, kementerian akan mempergiat usaha mengurangkan beban birokrasi dengan mempermudah prosedur dan mempercepat kelulusan.
Akses kepada modal menjadi fokus komponen C bagi memastikan syarikat tempatan mampu merebut peluang antarabangsa.
“Kita nak pastikan ada capaian kepada modal yang lebih luas supaya perniagaan Malaysia meraih manfaat daripada keadaan saingan geopolitik dan ekonomi dunia ini,” jelas Sim.
Komponen D iaitu daya akses kepada pasaran, pula penting bagi memastikan sokongan diterjemahkan kepada pertumbuhan sebenar.
“Syarikat PMKS juga harus diberi peluang, produk-produk lokal kita, syarikat Malaysia kita harus juga mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi negara,” tegasnya.
Sim berkata suntikan dana kerajaan berjumlah hampir RM34 billion membuka peluang besar kepada perniagaan tempatan untuk berkembang.
KUSKOP akan bekerjasama dengan institusi kewangan bagi memastikan kos pembiayaan lebih rendah dan akses kredit dipermudah.
Kementerian itu juga akan menggalakkan agensi kerajaan dan sektor korporat memberi keutamaan kepada produk tempatan dalam perolehan.
Pelaksanaan strategi ABCD secara konsisten diyakini mampu mencetuskan perubahan besar dalam landskap perniagaan negara.








