SEOUL: Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan tiba di sini pada Selasa untuk lawatan negara selama dua hari ke Korea Selatan.
Ini merupakan lawatan negara pertama oleh seorang pemimpin UAE ke negara Asia berkenaan, susulan undangan Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).
“Hari ini saya tiba di Seoul, di mana saya akan menyertai Presiden Yoon Suk Yeol dalam membincangkan cara untuk meningkatkan Perkongsian Strategik Khas antara UAE dan Korea Selatan.
“Melalui perkongsian ekonomi dan hubungan erat antara rakyat, negara kita bertekad untuk mencapai kemajuan lebih lanjut yang memberi manfaat kepada semua,“ kata Sheikh Mohamed, menekankan fokus lawatan itu di akaun X beliau.
Menurut laporan antarabangsa, perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencecah US$20.8 bilion pada tahun 2023, peningkatan ketara daripada US$190 juta pada tahun 1980, menjadikan UAE rakan dagang ke-14 terbesar Korea Selatan.









