Lebih 8,000 anggota polis diatur gerak ke seluruh Sabah bagi memastikan kelancaran proses pengundian Pilihan Raya Negeri ke-17
KOTA KINABALU: Lebih 8,000 anggota polis telah diatur gerak ke seluruh negeri bagi memastikan kelancaran proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata anggota yang diatur gerak akan membantu pasukan sedia ada di setiap daerah.
Mereka akan mengawal proses pengundian dan mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Beliau menasihati semua anggota yang terlibat supaya melaksanakan tugas dengan penuh disiplin dan profesionalisme tinggi.
“Saya menasihatkan mereka agar sentiasa menjaga kesihatan, elak daripada melakukan aktiviti yang salah seperti mengambil alkohol semasa, sedang atau selepas bertugas,” katanya.
Jauteh menyampaikan amanat dalam majlis pelepasan anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu.
Beliau turut menasihati orang ramai yang pulang mengundi agar memandu secara berhemah dan mematuhi undang-undang jalan raya.
“Saya jangkakan bermula tengah hari esok banyak pergerakan kenderaan untuk balik ke kawasan masing-masing.”
“Selain mematuhi peraturan lalu lintas, pemilik kenderaan perlu pastikan kereta mereka berada dalam keadaan baik,” katanya.
Jauteh berkata kesemua aktiviti kempen setakat ini berjalan lancar walaupun pihaknya menerima 110 laporan.
Kebanyakan laporan tersebut melibatkan kesalahan kecil.
“Laporan polis yang diterima lebih daripada separuh berbanding laporan pada 2020 dan ini menunjukkan kematangan masyarakat.”
“Kita harap sikap profesional ini dapat dipraktikkan sehingga tamat proses pengundian,” katanya.
Sebanyak 1.76 juta pengundi akan mengundi pada PRN Sabah ke-17 yang mempertandingkan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri. – Bernama







