Seorang lelaki direman empat hari bagi siasatan kes cubaan beli emas RM30,000 dengan wang palsu di sebuah kedai di Kuala Terengganu.
KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki direman empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan kes cubaan membeli barangan kemas bernilai RM30,000 dengan wang palsu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor (gambar) berkata lelaki itu ditahan pada Khamis lepas ketika cuba melarikan seutas rantai emas di sebuah kedai emas di Paka, Dungun.
Dalam kejadian pada 18 Disember lalu, suspek datang ke sebuah kedai emas di Chabang Tiga dan meminta jurujual menunjukkan beberapa gelang emas.
Suspek mengambil gambar gelang tersebut dengan alasan mahu ditunjukkan kepada isteri sebelum menyatakan hasrat untuk membelinya.
Jurujual berasa curiga apabila suspek menyerahkan sejumlah wang yang berwarna putih pada bahagian tepi.
Insiden tarik-menarik wang berlaku antara suspek dan jurujual sebelum suspek menyedari taktiknya terbongkar.
Suspek kemudian melarikan diri menaiki sebuah kereta Perodua Axia biru gelap yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan iaitu menggunakan wang palsu.








