Jalan Kenyalang 1 di Bayan Lepas ditutup selama enam hari bermula hari ini berikutan lubang benam berukuran 2×2 meter dengan kedalaman 1.7 meter
GEORGE TOWN: Sebuah lubang benam telah menyebabkan penutupan lorong sisi di Jalan Kenyalang 1, Bayan Lepas bermula hari ini.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang memaklumkan penutupan itu akan berkuat kuasa selama enam hari sehingga 25 Jan atas faktor keselamatan.
Pengguna jalan raya diminta merancang perjalanan dan mematuhi arahan pihak berwajib sepanjang tempoh penutupan.
Lubang benam itu dikesan pada pukul 9.30 pagi hari ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan Awam dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata kejadian itu melibatkan kawasan berukuran 2 meter panjang dan 2 meter lebar.
Kedalaman lubang tersebut adalah kira-kira 1.7 meter dan setakat ini hanya lorong sisi yang terjejas.
“Pihak berkenaan telah mengambil tindakan awalan iaitu pemasangan pengadang plastik untuk menutup jalan di kedua arah,” katanya.
Tindakan pengorekan juga diambil bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian lubang benam itu.








