Mahkamah Rayuan Paris batalkan award akhir bernilai USD14.9 bilion, tegaskan tiada bidang kuasa timbang tara terhadap Malaysia dalam tuntutan waris Sulu
KOTA KINABALU: Keputusan Mahkamah Rayuan Paris yang membatalkan sepenuhnya Award Akhir berkaitan tuntutan pihak mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu merupakan kemenangan besar mempertahankan kedaulatan negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sook Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata kejayaan itu membuktikan kerjasama erat antara kerajaan Sabah dan kerajaan Persekutuan.
Beliau menegaskan keputusan itu mempertahankan kedaulatan undang-undang negara dan melindungi kepentingan ekonomi serta aset strategik Malaysia khususnya di Sabah.
“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat dan usaha bersepadu kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan serta pasukan perundangan negara yang bertindak tegas, profesional dan konsisten hingga peringkat antarabangsa,” katanya.
Arthur berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 Sabah pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah.
Pada 9 Dis, Mahkamah Rayuan Paris membatalkan sepenuhnya Award Akhir membabitkan pampasan bernilai USD14.9 bilion.
Keputusan mahkamah memutuskan bahawa penimbang tara Gonzalo Stampa tidak mempunyai bidang kuasa selain ketiadaan perjanjian timbang tara sah yang mengikat Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menyifatkan kemenangan itu sebagai kejayaan undang-undang dan kemenangan maruah, kedaulatan serta hak seluruh rakyat Malaysia.
Beliau berkata ia adalah kemenangan besar kepada negara terutamanya untuk rakyat Sabah.
War Room Sekretariat Khas Sulu yang bertindak bagi pihak Kerajaan Malaysia mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan Paris disampaikan pada 9 Dis.
Kerajaan menerima penghakiman rasmi berkenaan pada awal pagi Rabu lepas.
Mahkamah mendapati Stampa tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan ‘Award Akhir’ itu kerana tiada perjanjian timbang tara yang sah mengikat Malaysia. – Bernama







