Mahkamah Rayuan kekalkan hukuman denda RM7,000 atau penjara 18 bulan ke atas bekas pemandu e-panggilan yang ugut anak Pastor Koh.
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman denda RM7,000 atau penjara 18 bulan terhadap bekas pemandu e-panggilan kerana memeras ugut anak lelaki Pastor Raymond Koh.
Panel tiga hakim menolak rayuan Lam Chang Nam, 40, bagi mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.
Hakim Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid berkata mahkamah mendapati perayu tidak mengalami sebarang prejudis dalam pembelaannya.
“Kami dapati terdapat keterangan menyokong elemen kesalahan di bawah Seksyen 511 Kanun Keseksaan dan kami dapati sabitan Mahkamah Majistret adalah selamat,” katanya.
Beliau menambah hukuman denda RM7,000 itu adalah munasabah dan mencerminkan kesalahan percubaan dengan adil.
Pada 24 Mac 2023, Mahkamah Majistret Petaling Jaya menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Lam selepas didapati bersalah.
Dia didapati meminta RM30,000 daripada anak Pastor Koh yang hilang kononnya bagi membebaskan bapanya di sebuah pusat beli-belah di Kelana Jaya pada 6 Mac 2017.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 akta sama.
Lam telah membayar denda berkenaan sebelum ini.
Hukuman denda itu kekal selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan Lam pada 30 Mei 2025.
Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran merayu pada 17 Sept 2025 selepas kedua-dua pihak bersetuju menyerahkan persoalan undang-undang.
Persoalan itu adalah sama ada penyertaan Seksyen 511 dalam pertuduhan di bawah Seksyen 511 menjadikan pertuduhan tersebut cacat.
Pada 8 Feb 2021, Mahkamah Majistret melepas dan membebaskan Lam daripada pertuduhan menculik Pastor Koh.
Pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan culik itu bagaimanapun pertuduhan memeras ugut diteruskan.
Prosiding hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fuad Abdul Aziz.
Lam diwakili peguam M. Manoharan.








