Kementerian Sumber Manusia umum Majlis Perundingan Gig bakal ditubuh, bincang isu bidding e-hailing bagi seimbang kepentingan pemandu, platform dan pengguna.
PUTRAJAYA: Isu ‘bidding’ dalam kalangan pemandu e-hailing akan dijadikan agenda awal oleh Majlis Perundingan Gig yang bakal ditubuhkan.
Majlis ini bertujuan memastikan kepentingan pemandu, platform dan pengguna kekal seimbang.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan memaklumkan majlis itu akan ditubuhkan sebaik sahaja Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 dikuatkuasakan.
Majlis ini merupakan platform tripartit yang melibatkan wakil kerajaan, pekerja gig dan entiti kontrak.
Fungsinya adalah untuk menasihati serta mengemukakan syor kepada kerajaan berkaitan pelbagai isu pekerja gig.
“Ini termasuk kadar pendapatan minimum, formula dan standard minimum yang akan diguna pakai, serta perkara berkaitan kebajikan dan kepentingan pekerja gig,” menurut kenyataan itu.
Majlis itu juga akan menjadi platform dialog berterusan berkaitan dasar serta isu-isu dalam sektor gig.
“KESUMA berpandangan isu bidding dalam kalangan pemandu e-hailing merupakan antara perkara awal yang akan dibincangkan di bawah majlis ini,” menurut kenyataan tersebut.
Kenyataan itu dikeluarkan merujuk laporan media tempatan berkait isu penawaran perkhidmatan e-hailing menggunakan konsep tawar-menawar.
Isu ini telah dibangkitkan oleh beberapa pertubuhan pekerja gig kepada Kementerian Pengangkutan.
KESUMA turut menegaskan kesediaan untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan dalam menangani isu ini secara menyeluruh.
Kerjasama ini adalah demi menjaga kebajikan pekerja gig dan kelestarian ekosistem ekonomi platform di negara ini.
Kementerian itu memaklumkan Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 telah diluluskan oleh Parlimen pada Ogos dan September lalu.
RUU ini kini sedang dalam proses pewartaan dan dicadang untuk dikuatkuasakan pada tahun 2026.








