the sun malaysia ipaper logo 150x150
Wednesday, January 21, 2026
20.3 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Malaysia pilih pendekatan pemulihan untuk remaja dikaitkan JI

Timbalan Ketua Polis Negara berkata pendekatan pemulihan holistik Malaysia terhadap 13 remaja yang dikaitkan dengan Jemaah Islamiyah pada 2003 terbukti berkesan, berbeza dengan cadangan penempatan di Guantanamo Bay.

KUALA LUMPUR: Pendekatan pemulihan holistik Malaysia dalam menangani ancaman keganasan terbukti berkesan menerusi operasi membawa pulang 13 remaja warga Malaysia yang dikaitkan dengan Jemaah Islamiyah (JI) dari Pakistan pada 2003.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay (gambar) berkata Malaysia memilih pendekatan berbeza walaupun terdapat permohonan supaya remaja berusia 16 hingga 25 tahun itu diserahkan kepada Amerika Syarikat untuk ditempatkan di Guantanamo Bay, Cuba.

Beliau berkata pendirian Cawangan Khas adalah mengusahakan supaya remaja itu dibawa pulang dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri serta mengikuti program pemulihan.

“Pada November 2003, Datuk Yusof Rahaman, Pengarah Cawangan Khas ketika itu telah mengambil inisiatif menghantar satu delegasi ke Pakistan untuk berunding,” kata Ayob Khan dalam hantaran Facebook.

Beliau berkata setelah beberapa siri rundingan dengan pihak keselamatan Pakistan di Islamabad, mereka bersetuju menyerahkan kesemua 13 rakyat Malaysia tersebut untuk dibawa pulang.

Kesemua remaja itu ialah anak kepada anggota-anggota JI Malaysia yang dihantar untuk melanjutkan pengajian di universiti di Karachi.

Mereka akan menyusup ke Afghanistan untuk menjalani latihan ketenteraan semasa cuti semester.

Ayob Khan mendedahkan sebahagian daripada mereka menjalani latihan di Kem Al-Qaeda di Afghanistan dan di Kem Lashkar E-Toiba, Kashmir.

Beliau turut mendedahkan pemimpin tertinggi JI mempunyai visi untuk memastikan kesinambungan perjuangan JI.

Bermula sejak pertengahan 1990-an, mereka mula menghantar anak-anak anggota JI untuk melanjutkan pengajian di Pakistan dan mengikuti latihan ketenteraan.

“Sel ini dikenali sebagai sel Al-Ghuraba. Mereka ini akan menjadi barisan pelapis untuk memimpin JI apabila kembali ke Malaysia,” kata Ayob Khan.

Beliau menambah mereka berlepas pulang ke Malaysia pada 9 Disember 2003 bersama pasukan eskot Cawangan Khas menggunakan pesawat khas.

Sekembali di Malaysia, ada dalam kalangan mereka yang dikenakan Perintah Tahanan, Perintah Sekatan dan dibebaskan tanpa syarat.

Mereka yang dikenakan Perintah Tahanan dan Perintah Sekatan diberikan guru tuisyen bagi membantu membuat persiapan untuk peperiksaan SPM.

Ayob Khan berkata program pemulihan tahanan pengganas dan militan yang dikendalikan oleh Cawangan Khas adalah antara yang terbaik di peringkat serantau mahupun global.

Beliau menambah banyak agensi penguat kuasa asing berminat untuk mempelajari kaedah serta pendekatan yang digunakan.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories